Sabtu, 16 Jun 2012

PULAU SIBU ......




Catatan Perjalanan Bina Insan Guru Sept 2011

Berkeluasan panjang 6km merupakan salah satu gugusan pulau yang indah di Laut Cina Selatan di persisiran laut Johor. Antara pulau-pulau yang berdekatan ialah Pulau Sibu Besar, Pulau Sibu Tengah, Pulau Sibu Kurus dan Pulau Sibu Hujung.Pulau Sibu mempunyai pantai berpasir putih yang bersih. Air yang jernih mengelilingi kesemua pantai di pulau-pulau tersebut. Ini antara lain disebabkan ia mengadap ke laut lepas, menjadikan pantainya dilanda ombak yang menarik lumpur dari pasir pantainya. Untuk ke Pulau Sibu ini, perkhidmatan bot disediakan di Tanjung Leman.
Seawal 5.30 pagi kami telah bangun dan setelah selesai bersolat serta pengurusan diri kami telah pergi ke kafateria untuk bersarapan pagi. Pada pukul 7.00 pagi, semua peserta telah berkumpul dihadapan bangunan HEP untuk menunggu ketibaan bas. Ketua opsyen telah memberikan sedikit sebanyak penerangan dan taklimat untuk bertolak ke Pulau Sibu dengan menaiki bas IPG. Bacaan doa telah disempurnakan oleh Cikgu Sabri bin Sabir, memohon kepada Allah semoga perjalanan kami selamat menuju ke distinasi.Pulau Sibu. Bermacam-macam tanggapan dan persoalan bermain di fikiran para peserta.

Setelah menyusun semua barangan keperluan dan beg-beg kami di dalam bas, kami pun bertolak menuju ke jeti Tanjung Leman, Mersing yang menjadi pusat transit untuk menaiki bot ke Pulau Sibu. Perjalanan kami tidak menempuh sebarang halangan dan alhamdulillah kami telah selamat tiba di jeti Tanjung Leman setelah menempuh perjalanan selama 2 jam. Semasa menunggu kehadiran bot untuk membawa kami ke Pulau Sibu, kami telah berjalan-jalan di sekitar kawasan Jeti tersebut dan ada diantara kami yang masih sempat untuk membeli barangan keperluan dan juga makanan. Pelbagai maklumat mengenai Pulau Sibu boleh kami dapatkan daripada sudut pelancongan yang terdapat di situ. Kami merasa sangat teruja dan tidak sabar untuk sampai ke pulau sibu....
. Setelah bot tiba, kami telah bekerjasama untuk mengangkat  barangan, beg pakaian dan sebagainya ke dalam bot. Walaupun barang-barang yang dibawa bawa agak banyak, namun berkat daripada kerjasama yang diberikan oleh setiap ahli, maka kerja-kerja itu menjadi mudah dan pantas. Setelah selesai, bot pun memulakan perjalanan meninggal kan jeti Tanjung Leman. Kesemua peserta telah diarahkan menggunakan jaket keselamatan sepanjang berada di dalam bot. Para pensyarah telah menaiki bot laju menuju ke Pulau Sibu. Perjalanan ke Pulau Sibu telah mengambil masa 45minit hingga 1 jam. Cuaca dan ombak laut yang tenang dan tidak terlalu bergelora menyebabkan perjalanan kami tiada halangan dan menjadi mudah.  Pemandangan indah di sepanjang laluan juga telah menarik minat kami dan amat bersyukur dengan keindahan ciptaan Tuhan ini.


Setelah tiba di Pulau Sibu, kami telah di tempatkan di tapak perkhemahan yang berupa chalet penginapan. Kami telah disambut oleh tuan punya tapak perkhemahan dan telah disajikan dengan makan tengahari. Setelah selesai menjamu selera, bersolat dan pengurusan diri yang lain, tepat jam 3.00 kami telah berkumpul dan bergerak ke Sekolah Kebangsaan Pulau Sibu untuk program khidmat masyarakat iaitu membersih kan kawasan sekolah dan  membersih kan pantai di Pulau Sibu itu. Walaupun  kawasan pantai ini dan pemandangan sangat cantik tetapi tetap tercemar dengan sikap sesetengan orang yang suka membuang sampah dimerata-rata tempat. Kami telah diberikan taklimat dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memungut sampah sarap bermula daripada jeti Pulau Sibu hingga ke hadapan Sekolah Pulau Sibu. Sampah sarap yang kami kutip disepanjang pantai, kami kumpul kan di satu tempat untuk dibakar. Pada perancangan awal, program gotong royong yang berjalan selama 2 jam ini turut disertai oleh penduduk kampung tapi malangnya di saat akhir mereka tidak turut serta kerana sibuk dengan pekerjaan mereka.
Sekitar jam 8.30 malam, aktiviti barbecue diadakan. Bekalan yang kami bawa iaitu ayam dan sosej sedia untuk dibakar. Pihak pengurusan chalet juga telah menyediakan ayam dan juga ikan-ikan segar. Aktiviti ini amat menyeronokkan dan kami dapat menikmati hidangan barbecue yang lazat dan menyelerakan.
Keesokan hariya kami terus bersarapan sebelum kami bersiap sedia untuk melakukan aktiviti yang seterusnya iaitu aktiviti snorkeling di sekitar Pulau Sibu. Peralatan untuk snorkeling telah kami bawa bersama daripada IPG . Antaranya ialah goggle dan juga life jacket. Ini telah menjimatkan perbelanjaan kami sepanjang tempoh perkhemahan kerana kami tidak perlu untuk menyewa peralatan tersebut disana.
Tepat jam 8.00 pagi kami telah bergerak dengan bot mengelilingi Pulau Sibu sambil menikmati panorama alam sekeliling yang indah. Setelah sampai ke destinasi yang dituju iaitu sebuah pantai yang indah, kami semua telah diberikan sedikit sebanyak taklimat ketika berada didalam air untuk mengelakkan berlakunya kemalangan yang tidak diingini oleh En. Mohd Jasa bin Siraj. Seterusnya kami diarahkan untuk memakai peralatan untuk snorkeling.

 Sesungguhnya kami merasa tidak sabar lagi untuk meneroka pemandangan dan hidupan didalam laut.  Sambil snorkeling kami juga berenang tanpa rasa penat sehingga jam 11.00 pagi.  Kami begitu asyik meneroka pemandangan didasar laut dan berbekalkan roti yang dibawa untuk diberikan kepada ikan-ikan, kami dapat melihat pelbagai jenis ikan yang mengerumuni roti yang kami taburkan. Lagi jauh kami berenang dan snorkeling lagi banyak pemandangan yang kami lihat seperti karangan laut, ikan yang cantik-cantik dan timun laut. Setelah penat kami berehat di tepi pantai sambil berbual-bual dengan rakan tentang pengalaman masing-masing. Ada diantara rakan yang menyarankan supaya pergi sedikit ke tengah laut untuk snorkeling kerana di sana terdapat lebih banyak ikan.  Setelah berehat selama 10 minit, saya dan rakan-rakan turun semula ke laut untuk menyambung aktiviti didalam air sehingga kaki saya kejang. Saya berasa cemas dan meminta rakan membantu saya ke pantai. Walaupun dalam keadaan sakit pada masa tersebut tetapi saya tetap berasa amat seronok dan ianya merupakan satu pengalaman yang amat berharga.


Sesungguhnya Pulau Sibu masih tidak tercemar dengan pencemaran dan ianya menyedarkan saya betapa pentingnya agar khazanah alam ini dapat dipelihara untuk tatapan generasi yang akan datang kelak. Semasa berehat pada waktu tengahari, kami telah mengambil kesempatan untuk membersih kan kawasan pantai daripada sampah sarap yang hanyut ke pulau itu. Setelah dikumpulkan, kami mengambil keputusan untuk membakar sampah sarap tersebut, memandang kan kami tidak membawa peralatan yang membolehkan kami menanam kesemua sampah sarap tersebut. Kami telah pulang ke kawasan perkhemahan pada pukul 2 petang.
Hari ini merupakan hari terakhir kami di Pulau Sibu. Setelah selesai bersarapan,kami telah bergerak ke Sekolah Kebangsaan Pulau Sibu yang terletak di  Kampung Duku. Kami telah merancang untuk melakukan aktiviti bersama dengan para pelajar SK Pulau Sibu. Memandangkan saya mengajar di sekolah menengah, aktiviti bersama pelajar SK Pulau Sibu ini merupakan pengalaman baru bagi saya.  Jumlah murid di sini hanyalah seramai 22 orang murid dan 8 orang guru. Acara pagi  telah dimulakan dengan perhimpunan di tapak perhimpunan dan bacaan doa oleh adik Safuan bin Ali (darjah3) yang dengan lancar dapat membaca doa ketika perhimpunan itu. Kemudian kami telah dibawa ke bilik J-Qaf untuk bacaan yassin yang  telah dijadikan budaya di sekolah ini setiap hari Jumaat dikalangan guru dan pelajar.
Setelah selesai bacaan Yassin itu, kami pun memulakan sesi ‘ice-breaking’di kantin lama SK Pulau Sibu yang telah dikendalikan oleh kami semua dan diketuai oleh cikgu Rahmah dan juga cikgu Abdul Rahim. Sambutan daripada para pelajar sangat menggalak kan  dan mereka amat gembira dapat mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan. sesungguhnya pelajar di SK Pulau Sibu ini sangat berdisiplin dan mendengar kata.
Kemudian, dibawah kelolaan cikgu Abdul Malek bin Kasdi dengan dibantu oleh kami semua, para pelajar ini telah di bahagikan kepada beberapa kumpulan. Beberapa acara sukaneka  telah dijalankan mengikut  stesen-stesen yang berlainan dan para pelajar haruslah menghabiskan permainan yang telah dirancang seperti sepakbola, gelek gelung rotan dll. Dari raut wajah para pelajar, ternyata mereka berasa amat seronok sekali dalam menyertai aktiviti yang telah dirancang untuk mereka.
 Setelah selesai semua acara yang dijalankan, maka  sesi penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para pelajar dan pihak pengurusan sekolah telah dibuat. Jelas kegembiraan terbayang di wajah mereka. Saat bersalaman untuk berpisah menimbulkan rasa sayu dihati masing-masing. Terasa amat sekejap untuk kami beramah mesra dengan pelajar dan guru di sekolah ini. Namun apakan daya masa tidak mengizinkan kami untuk tinggal lebih lama di sini. 
Setelah selesai acara penyampaian hadiah, kami pun pulang ke tempat penginapan dan kami telah mengadakan majlis penutup yang serba ringkas. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada  Encik Yazit bin Ali, para pensyarah pengiring , guru-guru SK Pulau Sibu, para pelajar SK Pulau Sibu dan seluruh penduduk di Pulau Sibu.
Setelah selesai majlis, kami pun menjamah jamuan makan tengahari yang begitu enak. Boleh dikatakan setiap hidangan yang disajikan begitu enak dan amat memuaskan  hati kami. Tidak disedari selama 3 hari di sana saya telah mengalami peningkatan berat badan sebanyak 2kg. Walaupun berat hati untuk  meninggal kan pulau tersebut, tapi kami terpaksa juga pulang. Pengalaman yang diperolehi  sewaktu pelaksanaan program Bina Insan Guru ini telah banyak mematangkan saya dari segi memberikan kerjasama bersama-sama rakan sekelas dalam menyelesaikan segala tugasan yang telah diberikan kepada kami. Ini kerana, dengan kerjasama yang telah diberikan, ianya memudahkan dan melancarkan segala tugasan sepanjang tempoh BIG ini berlangsung.